Jump to content
Search In
  • More options...
Find results that contain...
Find results in...
Sign in to follow this  
Sharp Shooter

Henjutan Kenering

Recommended Posts

01-2.jpg

Ah Ngah telah membantu ramai caster mencapai impian badong mereka.

Bairpun pancingan air tawar di negara kita semakin merosot, namun sebarau masih dianggap ikan sasaran yang agak mudah diperolehi, cuma saiznya kecil-kecil. Melainkan jika anda berani mencabar jeram merbahaya di Kenering!

Teks & Fotografi: Pak Wong

Hulu Sungai Perak yang berada berdekatan Kuala Kangsar mempunyai 4 buah empangan iatu Temenggor, Bersia, Air Ganda yang juga dipanggil Kenering dan Chenderoh. Selain Tasik Bersia yang masih kelihatan berbentuk sungai, ketiga-tiga tasik yang lain masing-masing membentuk tasik yang luas dan menenggelamkan Sungai Perak di dasarnya.

02-2.jpg

Pelabuhan amat dekat dengan jalanraya, inilah lubuk sebarau paling mudah diakses.

Antara tasik-tasik ini terbina empangan hidroelektrik yang membekalkan kuasa elektrik kepada banyak tempat di Semenanjung Malaysia. Selain kawasan lepasan air empangan-empangan yang masih kelihatan sebahagian bentuk Sungai Perak yang asal, tempat takungan air yang lain semuanya berbentuk tasik. Sungai Perak yang asal tidak kelihatan biarpun sewaktu paras air paling rendah.

Sungai Perak Original

Hanya di antara Tasik Air Ganda dan Chenderoh sahaja terdapat sebatang sungai pergunungan yang amat panjang. Sungai ini bukan sahaja panjang, ia juga kelihatan amat luas dan mempunyai ciri-ciri sungai pergunungan seperti batu, jeram dan lata, namun tidak kelihatan lubuk yang berair tenang. Inilah Sungai Perak yang tulin!

03-2.jpg

Injin ekor biawak paling sesuai untuk sungai berbatu.

Tempat yang unik ini dipanggil Kenering, namanya dipetik dari sebuah kampung berhampiran. Kenering merupakan sambungan terunik di antara kempat-empat empangan ini. Empangan yang lain semuanya merupakan tasik yang berair hampir mati namun air di Kenering pula mengalir sepanjang masa dan hanya berubah menjadi bentuk tasik apabila  sampai ke empangan di hilir.

Sungai yang mengandungi jeram dan batu ini sememangnya lubuk terbaik buat spesies sebarau atau badong yang terkenal dengan rahangnya yang mampu membinasakan mata terkuat. Sungai yang berarus deras ini tidak sesuai untuk memasang pukat. Justeru tidak mengalami tekanan penangkapan yang terlampau. Sehingga kini ia masih mengandungi populasi sebarau yang agak memuaskan. Spesimen bersaiz 3 kilogram tidak mustahil jika terkena masa dan tempatnya. Satu kelebihan dengan padang pancing ini ialah ianya mudah diakses dan tidak perlu trekking jauh-jauh sambil memanjat bukit.

04-2.jpg

Januari merupakan waktu terbaik untuk menduga badong Kenering.

Caster-caster yang berpusu-pusu bertandang ke sungai ini telah menjana peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, terutamanya perkhidmatan pemandu pancing. Bot yang digunakan di sini ialah bot fiber yang berbentuk panjang dan sempit bagi kemudahan pengendalian di sungai yang berarus laju. Injin sangkut jenis ekor biawak digunakan kerana kipasnya sentiasa berada berdekatan permukaan air dan dapat mengelakkan dari terkena batu yang terserempak di merata sungai ini.

Mengenal-pasti Spot

Teknik terbaik buat sungai pergunungan ialah casting sambil hanyut. Pelabuhan terletak tidak jauh dari kepala empangan di mana sebarau gemar bermain. Terdapat dua pilihan iaitu samada mudik ke empangan dan memulakan hanyutan dari sana atau hanyut terus dari pelabuhan sehingga ke hilir sungai.

05-2.jpg

Empangan di hulu Kenering juga merupakan spot badong terbaik.

Sungai pergunungan ini mempunyai paras air yang paling berbeza dengan sungai pergunungan yang lain. Biarpun tiada hujan paras airnya juga akan mengalami perbezaan yang ketara lantaran empangan yang berada di hulu sungai ini akan melepaskan air setiap hari selain hari minggu atau menjelang musim kering. Paras air biasanya akan menjadi rendah pada waktu pagi dan akan naik sehingga satu meter pada masa yang agak pendek apabila empangan melepaskan air. Pada hakikatnya empangan-empangan yang lain juga kerap melepaskan air namun agak sukar dikesan lantaran airnya mengalir ke dalam sebuah tasik mega dan bukan sungai.

Paras air yang rendah sudah pasti lebih cocok untuk memancing berbanding paras air tinggi. Apabila paras air turun, struktur batu di dalam sungai akan mudah kelihatan dan lebih mudah untuk memastikan spot terbaik buat teknik casting. Ikan-ikan kecil juga lebih tertumpu daripada terserempak di merata tempat.

06-2.jpg

Jambatan besi zaman Jepun masih beroperasi sehingga sekarang.

Bagaimana pun, kawasan di mana air sungai mengalir memasuki jeram yang sempit tetap menjadi spot terbaik pada bila-bila masa. Sebarau suka menyerang hendap ikan-ikan kecil yang berenang melalui kawasan ini. Pusat jeram yang mengandungi batu-batu besar merupakan spot paling berpotensi. Gewang harus dilempar ke belakang batu di mana air kelihatan tenang. Sebarau dapat bersembunyi di sini tanpa menghabiskan banyak tenaga dan mengambil kesempatan terhadap ikan kecil yang melalui kawasan tersebut.

Selain jeram, perairan di tepi sungai yang diteduhi pokok dan pokok besar yang tumbang di tepi sungai juga merupakan spot casting terbaik. Kita juga harus berwaspada terhadap keadaan sekeliling dan lemparlah gewang serta merta jika terjumpa atau terdengar boilng di permukaan sungai.

Awas Apabila Gewang Sangkut Pokok

Keselamatan harus diutamakan apabila memancing di sungai yang berair deras ini. Kecekapan pemandu pancing mengendalikan bot tidak menjadi isu, namun jaket keselamatan harus dipakai sepanjang masa bagi untuk keselamatan peribadi ketika kecelakaan berlaku.

Pernah sekali gewang saya tersangkut di atas sepohon pokok. Apabila AH Ngah pemandu pancing kami mendayung bot ke bawah pokok tersebut, saya pun menghulurkan tangan dengan hasrat ingin menarik ranting pohon itu untuk melepaskan gewang yang terlekat di atasnya. Namun saya terlupa bahawa bot bukan berada di sebuah tasik yang berair tenang tetapi di sebatang sungai yang berarus deras. Sebaik sahaja saya cuba menarik ranting tersebut bot pun serong ke sebelah dengan lajunya akibat aliran arus yang deras. Saya terus jatuh ke dalam sungai namun pada masa yang sama sempat saya memegang pada tepian bot. Jika tidak pasti akan ditolak arus ke tempat berbatu besar yang merbahaya!

07-2.jpg

Pancingan di Kenering amat bergantung kepada pengalaman dan teknik caster.

Sungai pergunungan yang bersaiz mega ini mempunyai kuantiti air yang amat besar dan padu, khasnya apabila empangan melepaskan air. Nasihat saya jika gewang tersangkut atas pokok dan di bawah pokok pula adalah kawasan berair deras, lebih baik potong tali sahaja!

Pilihan Gewang Killer

Gewang apakah paling sesuai digunakan di sungai yang sentiasa berarus deras ini? Biasanya gewang paling laku ialah sesudu dan gewang replika ikan jenis selaman cetek. Namun di sungai pergunungan yang mempunyai air yang deras lagi padu ini, gewang-gewang tersebut akan sentiasa ditolak arus sehingga ke permukaan, justeru gewang yang paling sesuai adalah gewang selaman dalam jenis sinking. Gewang yang mempunyai profil yang lebih kurus rintangan airnya juga lebih rendah justeru lebih mudah dikendali berbanding gewang berprofil gemuk. Memandangkan gewang terpaksa dipersembahkan di kawasan berbatu, mata tunggal merupakan pilihan terbaik. Popper atau pensil juga laku apabila paras air sungai rendah.

08-2.jpg

Dr Tan SK berjaya menaikkan sebarau ini di kawasan jeram.

09-1.jpg

Di sinilah tempat kami berehat dan menjamu selera.

Memancing secara melemparkan gewang di sebuah sungai pergunungan bersaiz besar dan berarus deras di atas sebuah bot yang menghanyut mengikut arus, keberkesanannya boleh dikira tidak tinggi. Spot yang cantik akan cepat berlalu sehinga caster tidak berkesempatan untuk mencuba sesebuah spot yang berpotensi secara teliti. Jika anda yakin dengan teknik casting anda, marilah mencabar sebarau Kenering. Saya yakin di sungai pergunungan mega ini pasti masih banyak lagi badong berskala 5 kilogram!

Pemandu pancing Kenering
Ah Ngah 012-367 2186

Lihat selanjutnya

Share this post


Link to post
Share on other sites

Create an account or sign in to comment

You need to be a member in order to leave a comment

Create an account

Sign up for a new account in our community. It's easy!

Register a new account

Sign in

Already have an account? Sign in here.

Sign In Now
Sign in to follow this  

×