Jump to content
Search In
  • More options...
Find results that contain...
Find results in...
Sign in to follow this  
Sharp Shooter

Misi Dua Kali Ganda

Recommended Posts

01-rekod-Kanai-peribadi-saya-di-Sri-Gand

Rekod Kanai peribadi saya di Sri Ganda. Berbaloi walaupun berkereta selama 6 jam untuk sampai ke sini!

Sri Ganda, sebuah kampung di pedalaman daerah Lahad Datu, Sabah merupakan nama yang tidak asing lagi bagi peminat sukan memancing tanah air untuk menjejak ikan pemangsa terutamanya Kanai atau Black Bass. Trip kedua saya ke Sri Ganda telah meninggalkan memori ceria mahupun derita lantaran kekalahan kepada si pembuli Sungai Kinabantangan..

Teks & Fotografi: Aiman Johari

Setelah setahun yang lalu selesai dengan jayanya trip pertama saya ke Sri Ganda bersama-sama Anis Rapala, sekali lagi kami turun ke bumi bertuah ini untuk bertanya khabar kepada penghuni-penghuni Sri Ganda pada awal April yang lalu.

02-rehatkan-diri-sementara-menunggu-flig

Tidur freestyle sementara menunggu flight awal subuh.

03-Mercu-tanda-Kampung-Sri-Ganda-setiap-

Mercu tanda Kampung Sri Ganda. Setiap kali ke sini mesti ambil gambar kenang-kenangan.

Untuk trip kali ini, rata-ratanya boleh dikatakan disertai oleh pemancing dari utara tanah air. Enam daripada lapan ahli trip kali ini berasal dari Kedah dan Pulau Pinang, manakala dua ahli yang lain dari Kuala Lumpur. Seperti trip yang lepas, Anis memainkan peranan Chip kami ke Sabah. Segala urusan memancing di Sabah telah diatur rapi oleh beliau.

Lupa Beli Tiket

Perjalanan kami bermula dari Sungai Petani ke KL Central dengan menaiki keretapi dan kemudiannya beralih kepada Bas dari KL Central untuk ke KLIA2. Untuk menunggu penerbangan ke Sandakan pada awal keesokan paginya, kami memutuskan untuk berehat dan santai di KLIA2 sahaja. Pada masa inilah baru saya perasan bahawa aada di antara ahli kami lupa untuk membeli tiket penerbangan dan ada pula yang lupa membawa kad pengenalan. Naik cuak kami dibuatnya. Nasib baik semuanya diselesaikan dengan pantas tetapi malang buat ahli yang terpaksa bayar dua kali ganda harga tiket. “Nasiblah ada teket, kalo tak dak memang kami tinggal hang kat sini”, usik kami beramai-ramai dalam lorat bahasa Kedah.

04-Fendi-KN-dengan-trofi-Kanainya.jpg

Fendi KN dengan trofi Kanainya.

05-Zai-dan-Kimi-silih-berganti-menaikkan

Zai dan Kimi silih berganti menaikkan MJ bersaiz bagak.

06-Zai-dan-Kimi-silih-berganti-menaikkan

Akhirnya kami tiba di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira pukul 9 pagi. Guide Sri Ganda iaitu Eping dan bapa saudaranya telah menunggu kami di pintu besar. Untuk tahun ini, group kami merupakan antara group yang paling awal datang ke Sri Ganda bila tiba musim memancing Kanai. Ini kerana pada awal tahun, biasanya akan berlaku banjir besar di Sungai Kinabatangan, iaitu Sungai terbesar di Negeri Sabah. Faktor cuaca perlu diambil kira untuk menjejak Si Tembaring ini.

Kami mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 300 kilometer dari Sandakan yang mengambil masa selama 6 jam dengan kenderaan 4X4 untuk tiba di Kampung Sri Ganda. 3 jam mengharungi kawasan ladang kelapa sawit memang mencabar mental dan fizikal setiap ahli. Boleh dikatakan selang 30 minit kami akan berhenti untuk membuang air kecil. Hahahaha. Tak percaya? Silalah berkunjung ke Sri Ganda.

Kami tiba di Kampung Sri Ganda pada awal petangnya. Sempat juga berjalan-jalan di kawasan kampung dan pergi ke Jeti sungai yang tidak jauh dari tempat penginapan. Lega rasanya bila melihat keadaan air yang menghijau dan cuaca yang baik menyambut kedatangan kami kali ini.

07-Azhar-yang-pertama-kalinya-ke-Sri-Gan

Azhar yang pertama kali ke Sri Ganda sudah dapat lesen Kanainya pada hari pertama.

Kumpaw Hari Pertama

Keesokan harinya, semua bangun awal dan siap untuk turun ke sungai. Saya dengan Fendi KN menaiki bot Eping dan terus menyusuri Sungai Kecil yang terletak di tepi kampung setelah selesai menjamah hidangan pagi yang disediakan oleh homestay. Hujan rengai-rengai turun pada awal pagi menyambut kehadiran kami. Alhamdulilah, nasiblah ianya hanya sementara. Kalau air mula keruh, habislah harapan kami untuk menjejak si kanai ini.

08-GT-Juvenil-juga-kuat-menyambar-gewang

GT Juvenil juga kuat menyambar gewang disini.

Di setiap celahan pohon nipah, kami tidak berhenti membaling gewang. Hanya beberapa kali baling sahaja joran saya dihenjut kuat namun lawannya bukan macam yang pernah saya rasai satu tahun yang lalu. Aduh, MJ rupanya. Boleh tahan juga saiznya. Hahaha, tak apalah, lesen pengenalan di hari pertama. Saya dan Fendi saling silih berganti mendapat sentapan dari Siakap Merah dan Kerapu. Ikan dilepaskan semula ke habitat asal setelah selesai bergambar.

Walaupun girang dengan sentapan dari penghuni muara, ikan-ikan yang kami perolehi di awal pagi dan tengah hari akan kami lepaskan semula. Jikalau nak rasa ikan Sabah sekalipun, kami akan menunggu strike melepasi waktu jam 4 petang. Itupun, hanya beberapa ekor sahaja yang kami pilih untuk hidangan malam nanti.

09-Lah-Awong-dengan-Kanainya-walaupun-te

Lah Awong dengan Kanainya setelah teruk dibuli.

Bukan ikan muara yang saya idamkan untuk dijadikan makanan. Saya lebih tertarik dengan makanan laut yang sukar dijumpai di Semenanjung seperti kerang gergasi, ketam nipah, udang laut bersaiz besar dan kesemua hasil laut ini harganya tidak lebih dari RM20 per kilogram. Memang murah beb!

Berbalik kepada pancingan di hari pertama kami, saya dan Fendi yang menaiki bot Eping masih belum mendapat strike dari Kanai. Puas Eping membawa kami ke spot terbaiknya untuk menjejak gangster Sri Ganda ini. Bot kami pulang dengan tiada sentapan dari Raja Muara di hari pertama. “Habislah kita Aiman, mesti teruk kena kutuk kita malam ini”, ujar Fendi kepada saya.

10-Anis-juga-beraya-mendaratkan-Kanai-di

Anis juga berjaya mendaratkan Kanai di kawasan perkampungan yang tidak jauh dari jeti.

Setelah semua bot pulang ke homestay, masing-masing bertukar gambar hasil tangkapan dan ada juga cerita tali putus. Rata-rata pendatang baru ke Sri Ganda telah mendapat lesen Black Bass. Kanai berskala 3-5 kilogram ramah membaham gewang rakan-rakan dari bot lain. Makin tension dibuatnya hahahaha..

Batu Kelukup

Seawal pukul 5.30 semua ahli telah dikejutkan oleh penggera dari talipon bimbit. Untuk hari kedua ini saya telah bertukar ke bot Amir, salah seorang botman terawal yang membawa pemancing menjejaki kanai di Sri Ganda selain Eping. Anis Rapala pula mnggunakan khidmat Eping kerana beliau berminat untuk mencuba popping GT pada lewat petangnya. Semua bot terus memacu laju menuju ke destinasi masing-masing dan Amir terus membawa saya  ke Batu Kelukup.

11-Zul-dengan-lese-Kanai-menggunakan-gew

Zul dengan lesen Kanai menggunakan gewang buatan sendirinya, padu!

Teruk saya dibuli tahun lepas di Batu Kelukup oleh sang Kanai di situ. Dua kali tali utama putus apabila mendapat strike dari Kanai. “Tahun ini tidak boleh kasih chance lagi”, bisik hati saya. Dalam perjalanan menuju ke Batu Kelukup, Amir telah membawa kami ke tengah-tengah muara besar yang terdapat sebuah pulau kecil. Dahulunya pulau ini agak besar namun disebabkan hakisan air, ianya menjadi makin kecil.

12-Gewang-buatan-Zul-yang-teruk-dibelasa

Gewang buatan Zul yang teruk dibelasah Kanai.

Beberapa lontaran saya dan Fendi di sekitar tebing pulau masih tidak mendapat sebarang ketukan dari penghuninya. Bot berhanyut perlahan mengelilingi pulau tersebut dan selang beberapa lontaran Fendi ke arah hujung pulau, joran Deps yang dipadankan dengan kekili Abu Beast diserkap sesuatu yang kasar. Tali terus menegang dan gelendung pun berputar tidak berhenti-henti. Sah itu kerja Si Kanai sapa Amir dari belakang.

Fendi yang tidak dapat berbuat apa-apa akhirnya kecundang pada pertarungan awal pagi tersebut apabila ikan berjaya meloloskan diri. Terdiam kami seketika. Sejurus itu, kami terus menghulurkan gewang semula ke dasar air. Tidak semena-mena joran saya pula diserkap sesuatu, saya terus pump ikan sekuatnya. Ikan sampai ke birai bot dengan perlawanan yang sederhana, aduhhhhh, MJ rupanya..kuat juga lariannya, ingatkan Kanai tadi.

Rekod Peribadi

Selang beberapa meter dari tempat yang saya strike tadi, Fendi pulak sekali lagi mendapat strike, MJ juga..manalah si Kanai ni. Kalau strike itu bonus, yang penting kita enjoy memancing, bilas saya kepada Amir sambil menghulurkan gewang ke tempat Fendi KN lucut Kanai tadi. Selang beberapa saat setelah gewang Ofmer X deep saya menerjah permukaan air, joran Bone berkekuatan PE 1.5-3.0 saya diserkap sesuatu. Lariannya terus menghala ke tengah-tengah muara.

Kali ini perlawanannya memang sukar untuk diungkapkan dan jauh lebih kuat dari perlawanan yang pernah saya alami pada tahun lepas. Kelam kabut di atas bot menunggu ikan tersebut timbul di permukaan air. Kanai besar, kanai besar jerit Amir di belakang bot . Terkejut juga saya melihat saiz ikan apabila ianya letih dan timbul di permukaan. Alhamdulillah, 19lb lebih nenurut timbangan Boga Grip. Bergetar lutut saya dibuatnya dan inilah rekod peribadi Kanai saya. Ikan selamat dilepaskan semula ke habitat asal setelah selesai bergambar.

13-Jenahak-yang-berkongsi-rumah-dengan-K

Jenahak yang berkongsi rumah dengan Kanai dan MJ turut berebut membaham gewang.

Bot terus dipacu laju menuju ke Batu Kelukup. Sementara itu, tiga bot yang lain juga tidak kurang hebatnya dengan kisah-kisah pertarungan epik menjejak si Kanai. Zul yang menaiki bot bersama Lah Awong turut mempunyai cerita tersendiri. Mereka asyik dibuli Kanai dengan menggunakan gewang buatan sendiri. Gewang yang diperbuat dari kayu terpilih ini memang berkesan untuk menjerat gangster Sungai Kinabantangan. Gewang buatan Zul yang dicatkan dengan warna red head, parrot dan hot tiger memang menjadi pilihan Kanai di sana. Bot merekalah yang mendapat paling banyak strike Kanai pada hari kedua. Memang saya suggest buat kawan-kawan yang ingin menjejak penghuni muara.

14-Saiz-MJ-yg-kami-daratkan-pada-hari-pe

Saiz purata MJ yang kami daratkan pada hari pertama.

Cerita bot yang dinaiki Anis dan Azhar tidak kurang hebatnya. Mereka awal-awal lagi sudah mempunyai lesen Kanai. Padahal Mereka hanya menumpu di sungai-sungai berhampiran dengan jeti sahaja. Manakala bot yang dinaiki oleh Zai dan Kimi turut cemerlang, mereka silih ganti dibuli teruk oleh Kanai tetapi ada juga yang sudi bergambar. Bukan setakat Kanai, MJ yang mereka perolehi juga besar-besar belaka. Satu pengalaman yang sukar dilupakan ujar Kimi yang pertama kali turun ke Sri Ganda.

Berbalik kepada bot saya, setelah hampir 30 minit bot dipacu laju ke Batu Kelukup, Amir tidak menunggu lama untuk melemparkan sauh ke dasar muara. Mulut saya mula membaca doa untuk dipermudahkan memancing di sini. Hahaha bukan apa, menurut penduduk setempat, di sinilah selalunya akan timbul buaya terbesar di Sri Ganda dan di spot inilah selalunya pemancing akan gagal menaikkan Kanai. Kalau dapat naik Kanai di sini memang bertuah sebab saiznya memang bagak-bagak belaka.

Parrot Kena culik

Struktur berbatu yang jelas kelihatan apabila air sorong menyurut akan menjadi rumah terbaik untuk ikan muara bermain dan mencari makan. Saya dan fendi KN saling melontar gewang ke hujung batu yang jelas kelihatan, sesekali gewang terasa mengetuk batu-batu di dasar. Lebih kurang 5 kali balingan menggunakan gewang Ofmer X Deep 85 berwarna parrot, joran saya diserkap sesuatu yang kuat, ianya merentap-rentap rod saya dengan tenaga luar biasa, saya hanya dapat bertahan beberapa saat sebelum ianya lucut!

15-Kepuasan-yang-sukar-diungkapkan.jpg

Kepuasan yang sukar diungkapkan.

Sekali lagi gewang saya dihulurkan di tempat yang sama dan ianya terus dilarikan penghuni dasar, sah Kanai ini ujar Tekong. Tali semakin tegang dan saya dapat menarik ikan tersebut ke tepi bot. Lega rasanya bila tali yang dikarau telah menampakkan ikatan FG, tetapi ikan semakin kuat bertarung. Tiba-tiba tali utama berkekuatan PE5 saya putus pula! Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya pada waktu itu.

Fendi yang tidak henti-henti berusaha melontar gewang turut mendapat habuan dengan menaikkan Kanai berskala 6kg. Joran Deps berkekuatan 12-25lb yang dipadankan dengan kikili Abu Beast beliau memang direka untuk menahan asakan si kanai pembuli. Selepas itu beberapa batang sungai kecil telah kami susuri dan hanya beberapa ekor kerapu, siakap merah dan Alu-alu sahaja yang sudi mengambil gewang kami pada petang itu kerana air mula menjadi keruh di sebelah hulu sungai.

Apabila sampainya di jeti pada waktu lewat petang, semua pemancing kelihatan puas dan sahlah semua mempunyai trofi masing-masing. Trip kami sukses sama seperti tahun lepas juga. Pada malam terakhir ini kami dihidangkan dengan makanan laut istimewa ala Sabah yang dimasak oleh isteri Eping. Keesokan harinya kami pun mula bergerak keluar dari kampung untuk memulakan perjalanan yang jauh ke lapangan terbang Sandakan. Misi berjaya dan pastinya tahun hadapan kami akan datang lagi ke Sri Ganda untuk bertarung dengan Kanainya.

Untuk keterangan lanjut menduga Kanai Sri Ganda bolehlah menghubungi Eping di talian 011-2669 7279

Lihat selanjutnya

Share this post


Link to post
Share on other sites

Create an account or sign in to comment

You need to be a member in order to leave a comment

Create an account

Sign up for a new account in our community. It's easy!

Register a new account

Sign in

Already have an account? Sign in here.

Sign In Now
Sign in to follow this  

×