Jump to content
Search In
  • More options...
Find results that contain...
Find results in...
Mohd Rizal

Kos Pembedahan Jantung Bayi Down Syndrome (VSD)

Recommended Posts

Kos Pembedahan Jantung Bayi Down Syndrome (VSD)

1257942659_KosPembedahanJantungBayiDownSyndrome(VSD).thumb.jpg.2832053204f26a3ca0a9ac3050025bb9.jpg

Kos Pembedahan Jantung Bayi Down Syndrome (VSD) sememangnya menjadi satu tanda tanya buat ibu bapa yang anak mereka bakal menjalani pembedahan. Jadi, saya sendiri akan berkongsi kisah di dalam menjalani proses pembedahan anak kami yang mengalami masalah jantung berlubang.

Bismillahirahmanirrahim.

Anda bersama saya, Mohd Rizal dan isteri saya Nor Azlina. Kami akan kupaskan kisah menjaga anak syurga kami yang sudahpun menjangkau usia 4 bulan 21 hari bernama Muhammad Danish Aisy.

Aisy, anak yang dilahirkan pada minggu ke 36. Dilahirkan menggunakan kaedah induce (secara paksa), kerana terdapat komplikasi di mana isteri saya mengalami masalah kekurangan air ketuban yang agak serius dan doktor menasihatkan kami supaya force baby dilahirkan walaupun belum sampai tarikh sebenar kelahiran.

Tanggal 21hb.Mei 2018, Aisy dilahirkan secara paksa. Memang satu proses yang sangat menyakitkan dengan kaedah induce (seperti yang dimaklumkan oleh isteri saya), tetapi untuk menyelamatkan bayi, kami terpaksa terima keadaan tersebut dan isteri juga berjaya melahirkan Aisy.

 

Down Syndrome

Setelah dilahirkan, Aisy terus di bawa ke unit Neonatal Intensive Care Unit atau NICU di Hospital Taiping. Di sinilah baru saya dimaklumkan sepenuhnya mengenai anak, mengapa beliau di bawa ke unit NICU oleh doktor yang bertugas.

Doktor mengesahkan bahawa Aisy disyaki seorang anak dari jenis Down Syndrome melalui beberapa faktor yang dikesan oleh pihak hospital. Segalanya diterangkan oleh doktor satu demi satu secara berhemah dan meminta kita bersabar dengan situasi tersebut.

Allah maha kaya lagi maha penyayang. Kita tidak mampu lakukan apa-apa sebaliknya bersyukur dengan takdirNya. Saya terima Aisy seadanya dan itulah anak rezeki buat kami. Anak kelahiran yang ke-6 ini sememangnya menguji tahap kesabaran di dalam jiwa.

 

Masalah Jantung Bayi Down Syndrome

Lebih mengejutkan saya, bukan sekadar Aisy seorang anak Down Syndrome, malah yang lebih menakutkan saya ialah apabila doktor memaklumkan bahawa Aisy juga mengalami masalah Jantung berlubang bersaiz 0.4mm. Apa yang boleh saya katakan saat itu hanyalah 1 perkataan "ALLAHUAKBAR"...

Doktor juga ada memaklumkan kepada saya bahawa, terdapat juga kes di mana, jantung bayi yang berlubang ada juga yang boleh pulih sendiri ketika usia mereka meningkat, malangnya dalam kes Aisy, jantungnya mengalami masalah lubang yang semakin membesar apabila usia beliau mencecah 35hari. Dari 0.4mm telah membesar kepada 0.7mm.

Kami dimaklumkan perlu ke Hospital Serdang di Selangor untuk bertemu pakar jantung di sana dan perbincangan lanjut. Aisy di bawa ke sana menggunakan  ambulan dari pihak Hospital Taiping dilengkapi dengan oksigen dan sebagainya.

Quote

Untuk pengetahuan anda diluar sana, masalah jantung adalah sinonim untuk bayi Down Syndrome dan kami dapat maklumat dari beberapa sumber bahawa hampir 80% bayi down syndrome mempunyai masalah jantung.

Setelah proses menemui pakar jantung selesai, Aisy di bawa pulang semula ke Hospital Taiping dan perlu menempuh satu tempoh yang agak lama untuk menambah berat badan sebelum menjalani proses pembedahan jantung. Doktor memaklumkan kepada kami, berat badan yang minimum yang terbaik untuk jalani pembedahan jantung adalah melebihi 3KG dan ke atas. Ketika ini Aisy hanya seberat 2.6KG.

 

Hari Pembedahan Jantung

Tiba masa Aisy mendapat panggilan untuk menjalani pembedahan. Perasaan kami sebagai ibu dan bapa teramat risau. Risau dengan ribuan perkara kerana jantung adalah organ utama dalam kehidupan kita seharian. Inikan anak kecil yang perlu mengharungi peritnya pembedahan ini. Allahuakbar.

Setibanya Aisy di Hospital Serdang pada 01hb,Oktober 2018, beliau terus ditempatkan di dalam CICU, di mana tempat sepatutnya di PCICU tetapi penuh. Sebelah petang, kami dipanggil oleh pihak hospital untuk dimaklumkan beberapa perkara.

  1. Pakar bius memaklumkan setiap proses dan kesan dari bius ke atas Aisy. Apabila selesai dimaklumkan, kami menandatangi surat.
  2. Pakar bedah memaklumkan setiap proses dan kesan pembedahan ke atas Aisy. Apabila selesai dimaklumkan, kami diminta untuk menandatangani surat pengesahan.

Keesokkan hari kami dimaklumkan bahawa tiba masa untuk Aisy menjalani prosedur pembedahan pada sebelah petang. Bermula dari jam 2:00 petang dan berakhir pada jam 8:50 malam, sepanjang tempoh itu kami hanya mampu berserah kepada Allah dan terus berdoa.

Alhamdulillah segalanya telah selamat dan operasi pembedahan dari pakar bedah utama, Dato Dr. Hamdan dan pembantu-pembantunya telah berjaya. Syukur ke hadrat illahi. Aisy dimasukkan ke dalam CICU semula dan masih tidak sedarkan diri.

 

Kos Pembedahan Jantung Bayi Down Syndrome

Setelah beberapa hari kami di Hospital Serdang, tiba masanya untuk Aisy di bawa pulang ke Hospital Taiping. Kami diminta untuk menjelaskan segala kos sebelum discaj. Kos keseluruhan pembedahan jantung sememangnya agak terkejut jika dilihat kerana ianya mencecah puluhan ribu ringgit. Akan tetapi kita bertuah dilahirkan sebagai warganegara Malaysia dan mempunyai kerajaan yang memahami masalah rakyat.

Kos Pembedahan dan sebagianya berjumlah : RM22,481

Jumlah perlu di bayar RM500 sahaja. Alhamdulillah sekali lagi rasa penuh kesyukuran.

 

Diharap dengan perkongsian ini, dapat mengurangkan sedikit sebanyak tekanan atau emosi para ibubapa yang masih keliru dan takut akan kos pembedahan si anak kecil, terutama di dalam kes pembedahan jantung (Major Operation).

Kami akan kongsikan lain-lain artikel di portal ini untuk anak Down Syndrome. Anda juga boleh ikuti kisah mengenai Aisy - Abang Chik di facebook.

Edited by Mohd Rizal

Share this post


Link to post
Share on other sites

Create an account or sign in to comment

You need to be a member in order to leave a comment

Create an account

Sign up for a new account in our community. It's easy!

Register a new account

Sign in

Already have an account? Sign in here.

Sign In Now

×